Halaman

Tuesday, May 31, 2011

KisaH Raja MuzaffaR


Bismillahirrahmanirrahim

Dengan nama ALLAH TT mulakan post. Hari ini kita berkongsi lagi dengan perkara "Kisah Raja Muzaffar" untuk dijadikan motivasi dlm kehidupan seharian.Seperti biasa, TT menggunakan skill terhebat iaitu Copy&Paste...ekekeke... :P Layannn...

KISAH 1

Suatu hari Raja Muzaffar yang masih kanak-kanak bertanya kepada bondanya
tentang ALLAH.

“Bonda.. Dimana ALLAH dan bolehkah anakanda melihatNya?”

“Oh.. ALLAH itu di Arasy wahai anakanda dan anakanda tidak dapat melihatNya
kerana ALLAH berada nun jauh diatas 7 petala langit. Sedangkan langit kedua
pun manusia tidak nampak bagaimana hal keadaan zatnya lantas bagaimana
mungkin anakanda akan dapat melihat ALLAH yang berada di Arasy yang
terletak lebih atas dan jauh daripada 7 petala langit?”

“Oh begitu… Bagaimana dengan dalilnya bonda?”

“Dalilnya begini.. “Sesungguhnya Tuhan kamu ialah ALLAH Yang menciptakan
langit dan bumi dalam enam masa, kemudian Dia bersemayam di atas Arasy
untuk mengatur segala urusan”.. dari surah Yunus ayat ke 3.”

Maka giranglah hati Raja Muzaffar kerana telah mendapat jawapan daripada
persoalan yang selama ini sentiasa semak difikirannya. Masa pun berlalu..
hari berganti minggu, minggu berganti bulan dan bulan berganti tahun, maka
telah remajalah Raja Muzaffar. Suatu hari Raja Muzaffar diperintahkan
ayahandanya supaya belajar ilmu-ilmu agama dari Syeikh Abdullah selaku
Mufti di negeri ayahandanya itu. Maka tidak sabar-sabarnya lagi Raja
Muzaffar mahu berguru dengan Syeikh Abdullah sementelah pelajaran agama
adalah yang paling diminatinya.

KISAH 2

Suatu hari sambil duduk-duduk santai dengan Syeikh Abdullah tiba-tiba Raja
Muzaffar ditanyai Syeikh Abdullah dengan 2 persoalan yang tidak asing
baginya.

“Wahai anakanda Putera Raja.. Dimana ALLAH dan bolehkah anakanda Putera
Raja melihatNya?”

Sambil tersenyum Raja Muzaffar menjawab sebagaimana yang telah diajarkan
bondanya dahulu.

“ALLAH itu di Arasy wahai Syeikh Guru dan beta tidak boleh melihatNya
kerana ALLAH berada nun jauh diatas 7 petala langit.”

Tersenyum kecil Syeikh Abdullah mendengar jawapan muridnya itu dan sejenak
selepas menghela nafasnya Syeikh Abdullah lalu bersuara..

“Begini anakanda Putera Raja… ALLAH itu bukannya makhluk seperti kita
lantaran itu ALLAH tidak seperti kita. Apa sahaja hukum yang terjadi pada
makhluk tidak berlaku seperti itu atas ALLAH. Oleh itu ALLAH tidak
bertempat kerana bertempat itu hukum bagi makhluk.”

“Lantas dimana ALLAH itu wahai Syeikh Guru?”

“ALLAH itu tidak bertempat kerana Dia bersifat qiammuhu binafsihi yang
bermaksud ALLAH tidak berhajat pada sesuatu zat lain untuk ditempati. Jika
kita mengatakan ALLAH berhajat pada sesuatu zat lain untuk ditempati maka
ketika itu kita telah menyerupakan ALLAH dengan keadaan makhluk.
Ketahuilah, ALLAH tidak serupa dengan makhluk berdasarkan kepada dalil dari
surah asy-Syuura ayat 11 yang bermaksud “Dia tidak menyerupai segala
sesuatu.” ALLAH tidak berdiam di Arasy kerana Arasy itu adalah makhluk.
Bagaimana mungkin makhluk dapat menanggung zat ALLAH sedang bukit dihadapan
Nabi Musa pun hancur kerana tidak dapat menanggung pentajalian ALLAH.”

Raja Muzaffar mengangguk-anggukkan kepalanya tanda faham. Kemudian Syeikh
Abdullah menambah..

“Berkenaan tentang anakanda Putera Raja tidak boleh melihat ALLAH itu
adalah betul namun bukanlah kerana ALLAH itu jauh maka anakanda Putera Raja
tidak boleh melihatNya.”

“Jika bukan begitu lantas bagaimana Syeikh Guru?” Tanya Raja Muzaffar
beria-ia ingin tahu.

“Sebenarnya kita tidak dapat melihat ALLAH bukanlah kerana faktor jarak
tetapi kerana keterbatasan kemampuan penglihatan mata manusia yang tidak
mampu melihat zatNya. Ini bersesuai dengan firman ALLAH yang bermaksud “Dia
tidak dapat dicapai oleh penglihatan mata, sedang Dia dapat melihat segala
penglihatan itu dan Dialah Yang Maha Halus lagi Maha Mengetahui.”.. dari
surah al-An’am ayat 103.”

Terdiam Raja Muzaffar mendengar hujah gurunya itu. Barulah beliau sedar
bahawa apa yang menjadi pegangannya selama hari ini adalah salah. Pegangan
yang mengatakan bahawa ALLAH itu di Arasy dan ALLAH tidak boleh dilihat
kerana faktor jarak adalah satu kesilapan. Huraian daripada gurunya melalui
ilmu Kalam membuatkan Raja Muzaffar begitu kagum dengan kekuasaan akal yang
dapat menghuraikan segala-galanya tentang Tuhan. Bermula dari hari itu Raja
Muzaffar berpegang dengan hujah gurunya bahawa ALLAH itu tidak bertempat
dan manusia tidak boleh melihat ALLAH kerana keterbatasan kemampuan
penglihatan mata manusia. Akhirnya dengan berkat ketekunan dan kesungguhan,
Raja Muzaffar telah berjaya menguasai ilmu-ilmu ketuhanan menurut peraturan
ilmu Kalam sebagaimana yang diajarkan oleh Syeikh Abdullah hingga mahir.


KISAH 3

Masa terus berjalan dan kini Raja Muzaffar telah dewasa. Oleh kerana begitu
minatnya yang mendalam tentang ilmu-ilmu ketuhanan maka beliau meminta izin
daripada ayahandanya untuk menperdalamkan lagi ilmu pengetahuannya dengan
belajar dari guru-guru yang berada diluar istana sementelah Syeikh Abdullah
telah meninggal dunia. Ayahandanya memberi izin lalu tanpa berlengah Raja
Muzaffar menemui sahabat-sahabat sealiran almarhum Syeikh Gurunya untuk
melanjutkan pelajaran.

Raja Muzaffar mempunyai sikap yang pelik. Saban hari apabila beliau melalui
pekan-pekan kecil untuk sampai ke rumah guru-gurunya, beliau akan bertanya
kepada setiap orang yang ditemuinya dengan soalan yang pernah ditanya
kepada bondanya iaitu dimana ALLAH dan bolehkah manusia melihatNya?. Bagi
sesiapa yang menjawab soalannya itu sebagaimana yang pernah dijawab oleh
bondanya maka beliau akan membetulkan kefahaman orang itu dengan hujah
almarhum gurunya Syeikh Abdullah. Jika orang itu tidak mahu tunduk dengan
hujahnya maka orang itu akan dipukulnya sebelum diusir dari negerinya itu.
Begitulah sikap Raja Muzaffar setiap hari sehingga pada suatu hari beliau
bertemu dengan seorang tua yang sedang bertungkus-lumus menyediakan air
minuman untuk diberi minum kepada orang yang lalu-lalang disebuah pekan
tanpa mengambil sebarang upah. Melihat kelakuan pelik orang tua itu lantas
Raja Muzaffar mendekatinya.

“Hei orang tua.. mengapa kamu tidak mengambil upah atas usahamu itu?”

Tanya Raja Muzaffar tegas. Orang tua yang sedari tadi begitu khusyuk
mengagih-agihkan minumannya itu terkejut dengan pertanyaan Raja Muzaffar
lalu meminta Raja Muzaffar memperkenalkan dirinya.

“Siapakah tuan ini?” Tanya si Tua.

“Beta adalah Putera Raja negeri ini!” Jawab Raja Muzaffar tegas.

“Oh kalau begitu tuan ini tentu Raja Muzaffar yang terkenal dengan
ketinggian ilmu ketuhanan itu. Tapi sayang, tuan hanya tahu ilmu tentang
ALLAH tetapi tuan sendiri belum mengenal ALLAH. Jika tuan telah mengenal
ALLAH sudah pasti tuan tidak akan bertanya kepada saya soalan tuan tadi.”

Terkebil-kebil mata Raja Muzaffar mendengar kata-kata si Tua itu. Hatinya
terpesona dengan ungkapan ‘mengenal ALLAH’ yang diucapkan orang tua itu.
Lantas beliau bertanya kepada orang tua itu.

“Kemudian apa bezanya antara ‘tahu’ dengan ‘kenal’?”

Dengan tenang si Tua itu menjawab..

“Ibarat seseorang yang datang kepada tuan lantas menceritakan kepada tuan
tentang ciri-ciri buah nangka tanpa menunjukkan zat buah nangka, maka ini
mertabat ‘tahu’ kerana ianya hanya sekadar maklumat dan orang yang berada
pada mertabat ini mungkin akan menyangka bahawa buah cempedak itu adalah
nangka kerana ciri-cirinya seakan sama. Berbanding seseorang yang datang
kepada tuan lantas menghulurkan sebiji buah nangka, maka ini mertabat
‘kenal’ kerana zatnya terus dapat ditangkap dengan penglihatan mata dan
orang yang berada pada mertabat ini pasti dapat mengenal mana cempedak dan
mana nangka dengan tepat.”

Raja Muzaffar mendengar dengan teliti huraian si Tua itu. Diam-diam,
hatinya membenarkan apa yang diperkatakan si Tua itu. Kemudian terlintas
dihatinya untuk bertanyakan soalan yang lazim ditanyanya kepada orang
ramai.

“Kalau begitu wahai orang tua silalah jawab persoalan beta ini.. Dimana
ALLAH dan bolehkah manusia melihatNya?”

“ALLAH berada dimana-mana sahaja dan manusia boleh melihatNya.” Jawab si
Tua dengan tenang.

Tercengang Raja Muzaffar mendengar jawapan orang tua itu. Seketika kemudian
terus saja orang tua itu dipukulnya sehingga jatuh tersungkur. Melihat
orang tua itu tidak cuba mengelak pukulannya bahkan langsung tidak
menunjukkan reaksi takut maka Raja Muzaffar pun lantas bertanya..

“Kenapa kamu tidak mengelak pukulan beta wahai orang tua?”

“Bukankah tadi sudah saya bilang.. tuan ini hanya orang yang tahu tentang
ALLAH tetapi bukannya orang yang benar-benar mengenal ALLAH.”

Terdiam Raja Muzaffar mendengar kata-kata si Tua itu. Kemudian beliau
menenangkan dirinya lantas bersegera duduk diatas tanah dihadapan orang tua
itu.

“Baiklah orang tua. Silalah huraikan jawapan kamu tadi sebab beta berpegang
bahawa ALLAH itu tidak bertempat dan manusia tidak boleh melihat ALLAH.”

“ALLAH itu tidak bertempat adalah menurut pandangan hukum akal sahaja
sedang pada hakikatnya tidak begitu.” Ujar orang tua itu sambil mengesat
bucu bibirnya yang berdarah. Kemudian beliau menyambung..

“Bukankah ALLAH itu wujudNya esa?”

“Benar.” Jawab Raja Muzaffar.

“Jika ALLAH itu wujudNya esa maka sudah barang tentu tidak ada wujud
sesuatu bersertaNya.”

“Benar.” Jawab Raja Muzaffar.

“Lantas bagaimanakah kedudukan wujud alam ini jika ALLAH itu diyakini wujud
tanpa ada selain zat yang wujud bersertaNya dengan pandangan mata hati?”

Raja Muzaffar memejamkan matanya rapat-rapat lantas dikerahkan pandangan
mata hatinya untuk memahami persoalan yang ditanyai orang tua itu.
Tiba-tiba akalnya dapat menangkap dan memahami hakikat alam ini jika ianya
merujuk kepada ruang lingkup keesaan wujud ALLAH. Lantas beliau membuat
satu kesimpulan..

“Jika dipandang dari sudut esanya wujud ALLAH maka alam ini tidak lain
melainkan diriNya sendiri… Tiba-tiba sahaja perkataan itu terpacul keluar
dari bibirnya. Terkebil-kebil matanya apabila mendengar ucapannya sendiri.
Maka lidahnya kelu dan akalnya lumpuh. Terkejut. Tergamam. Terbungkam.

“Jadi kalau begitu ketika tuan memandang alam ini, siapa yang tuan pandang
pada hakikatnya?” Pantas soalan itu diajukan kepada Raja Muzaffar.

“Pada hakikatnya beta memandang ALLAH!”

“Nah kalau begitu bukankah ALLAH ada berfirman yang bermaksud “Dimana
sahaja kamu menghadap, disitulah wajah ALLAH” dari surah al Baqarah ayat
115 dan dalam surah al Hadiid ayat 3 yang bermaksud “Dialah yang awal, yang
akhir, yang zahir dan yang batin.”

Kemudian orang tua itu bertanya lagi..

“Dan sekarang dapat atau tidak tuan melihat ALLAH ketika ini”

“Ya.. beta menyaksikan dengan ainul basyiroh.”

Perlahan-lahan berjujuran air mata dari bucu mata Raja Muzaffar. Beliau
menahan sebak kerana sekarang beliau sudah faham kenapa orang tua itu tidak
mengambil upah atas usahanya dan tidak mengelak ketika dipukul. Semuanya
kerana yang dipandangnya adalah pentajallian ALLAH. Dalam hati
perlahan-lahan beliau berkata.. “Memang benar sesungguhnya pada sudut ini,
ALLAH berada dimana-mana sahaja dan manusia boleh melihat ALLAH.”

“Makanya wahai Putera Raja.. inilah yang dinamai sebagai ilmu hakikat.”

Semenjak hari itu, Raja Muzaffar terus mendampingi orang tua itu untuk
mempelajari lebih dalam selok-belok ilmu hakikat hingga diangkat beliau
oleh gurunya menduduki kedudukan Syeikh ilmu hakikat. Demi mempraktikkan
ilmu-ilmu hakikat yang halus, Raja Muzaffar telah menjadi seorang ahli
ibadah yang alim. Beliau tidak lagi berpegang dengan fahaman almarhum
gurunya iaitu Syeikh Abdullah kerana baginya jalan yang boleh membuatkan
seseorang itu dapat mengenal ALLAH dengan haqqul yaqin ialah dengan ilmu
hakikat. Beliau telah mengenepikan duduk didalam peraturan hukum akal sama
sekali dan mulai duduk didalam peraturan musyahadah. Bagi beliau, ilmu
Kalam yang dituntutnya selama ini adalah semata-mata salah.

Setelah kemangkatan ayahandanya maka Raja Muzaffar ditabalkan menjadi
sultan dinegerinya dan sekarang beliau menyandang gelaran Sultan Muzaffar
Syah pada usia 50 tahun. Beliau memerintah negerinya dengan adil dan
saksama namun sikap peliknya yang dahulu masih diteruskannya. Dimana sahaja
beliau pergi beliau tetap akan bertanyakan soalannya yang lazim itu. Jika
orang yang ditanya tidak dapat menjawab maka akan diajarkan jawabannya
menurut ilmu hakikat dan jika orang itu membangkang akan dihukum bunuh.
Akhirnya kelaziman Sultan Muzaffar Syah ini membuatkan seluruh rakyat
jelatanya menganut fahaman hakikat. Justeru itu rakyat jelata dinegerinya
hidup aman dan makmur.

KISAH 4

Suatu petang Sultan Muzaffar Syah yang terkenal sebagai Mursyid ilmu
hakikat itu berjalan-jalan disebuah padang rumput yang luas dengan ditemani
para pembesar istana. Pandangannya tertarik pada gelagat seorang pemuda
pengembala kambing dalam lingkungan usia 30an yang sedang berusaha
menghalau seekor serigala yang cuba memakan kambing gembalaannya. Baginda
mendatangi pemuda gembala itu. Kelihatan pemuda itu hanya memakai pakaian
yang diperbuat daripada guni dan tidak mempunyai kasut sebagai alas kaki.
Rambutnya kering berdebu, bibirnya kering dan badannya kurus.

“Wahai pemuda.. kenapa kamu menghalau serigala itu dari memakan kambing
itu, tidakkah kamu menyaksikan hakikat serigala itu? Maka biarkan sahaja
ALLAH bertindak menurut kemahuanNya.”

Mendengar kata-kata Sultan Muzaffar Syah itu sekonyong-konyong pemuda
gembala itu menggenggam pasir lantas dilemparkannya pasir itu ke muka
Sultan Muzaffar Syah. Kemudian pemuda gembala itu membongkok untuk
mengambil segenggam pasir lagi lalu dilemparkan lagi ke muka Sultan
Muzaffar Syah. Sultan Muzaffar Syah hanya tercegat sahaja mungkin terkejut
dengan tindakkan pemuda gembala itu. Pemuda gembala itu terus mahu
mengambil segenggam pasir lagi dan melihat itu seorang pembesar istana yang
berada disitu terus memukul pemuda gembala itu hingga beliau pengsan.

Apabila sedar dari pengsan, pemuda gembala itu mendapati tangan dan
lehernya telah dipasung dengan pasungan kayu didalam sebuah penjara. Tidak
lama kemudian datang dua orang pengawal istana dengan kasar merenggut
badannya dan membawanya ke suatu tempat yang amat asing baginya. Tidak lama
berjalan akhirnya mereka sampai dihadapan singgahsana Sultan Muzaffar Syah.


“Mengapa kamu melempari muka beta dengan pasir?” Tenang sahaja pertanyaan
Sultan Muzaffar Syah.

“Kerana tuanku mengatakan bahawa serigala itu adalah ALLAH yakni Tuhan
saya.”

“Bukankah hakikat serigala itu sememangnya begitu?” Tanya Sultan Muzaffar
Syah hairan.

“Nampaknya dakwaan yang mengatakan bahawa tuanku ini adalah seorang yang
mengenal ALLAH adalah bohong semata-mata.”

“Kenapa kamu berkata begitu?”

“Sebab orang yang sudah sempurna mengenal ALLAH pasti merindui untuk
‘menemui’ ALLAH.”

Setelah 30 tahun baru hari ini hati Sultan Muzaffar Syah terpesona lagi
apabila mendengar ungkapan ‘menemui ALLAH’ yang diucapkan oleh pemuda
gembala itu. Dahulu hatinya pernah terpesona dengan ungkapan ‘mengenal
ALLAH’. Sejurus itu juga Sultan Muzaffar Syah memerintahkan agar pasung
kayu yang dikenakan pada pemuda gembala itu ditanggalkan.

“Lantas apa utamanya ‘bertemu’ berbanding ‘kenal’?”

Tanya Sutan Muzaffar Syah.

“Adakah tuanku mengenali sifat-sifat Rasulullah?”

Tanya pemuda gembala itu tiba-tiba..

“Ya, beta kenal akan sifat-sifat Rasulullah.”

“Lantas apa keinginan tuanku terhadap Rasulullah?”

“Semestinyalah beta mahu dan rindu untuk menemuinya kerana baginda adalah
kekasih ALLAH!”

“Nah begitulah… Orang yang sempurna pengenalannya terhadap sesuatu pasti
terbit rasa ingin bertemu dengan sesuatu yang telah dikenalinya itu dan
bukannya hanya sekadar berputar-putar didaerah ‘mengenal’ semata-mata.”

Tiba-tiba sahaja Sultan Muzaffar Syah berteriak kuat dengan menyebut
perkataan ‘Allahu Akbar’ sekuat-kuat hatinya lalu baginda jatuh pengsan.
Tidak lama kemudian setelah wajahnya disapukan dengan air sejuk maka
baginda kembali sedar. Sultan Muzaffar Syah terus menangis teresak-esak
hingga jubahnya dibasahi dengan air matanya. Baginda memuhassabah dirinya..
“Memang.. memang selama ini beta mengenali ALLAH melalui ilmu hakikat
tetapi tidak pernah hadir walau sekelumit rasa untuk bertemu denganNya.
Rupa-rupanya ilmu hakikat yang beta pegangi selama ini juga salah
sepertimana ilmu bonda dan ilmu Syeikh Abdullah”.. bisik hatinya. Kemudian
terlintas difikiran Sultan Muzaffar Syah untuk menanyakan soalan lazimnya
kepada pemuda gembala itu.

“Kalau begitu wahai orang muda, silalah jawab persoalan beta ini.. Dimana
ALLAH?”

Dengan tenang pemuda gembala itu menjawab..

“ALLAH berada dimana Dia berada sekarang.”

“Kalau begitu, dimana ALLAH sekarang?

“Sekarang ALLAH berada dimana Dia berada dahulu.”

“Dimana ALLAH berada dahulu dan sekarang?”

“Dahulu dan sekarang Dia berada ditempat yang hanya Dia sahaja yang
ketahui.”

“Dimana tempat itu?”

“Didalam pengetahuan ilmu ALLAH.”

Sultan Muzaffar Syah terdiam sebentar sambil keningnya berkerut memikirkan
jawapan yang diberi pemuda gembala itu. Kemudian baginda meneruskan
pertanyaannya lagi.

“Bolehkah manusia melihat ALLAH?”

“Kunhi zatNya tidak boleh dicapai dengan pandangan mata kepala dan
pandangan hati.”

“Sila perjelaskan lagi wahai anak muda.” Pinta Sultan Muzaffar Syah.

“Begini tuanku.. adapun jawapan yang diberikan oleh bonda tuanku itu diatas
soalan lazim yang tuanku berikan itu adalah sebenarnya betul menurut
tahapan akal tuanku yang ketika itu dinilai masih kanak-kanak. Adapun
jawapan yang diberikan oleh Syeikh Abdullah itu juga betul jika dinilai
dari sudut hukum akal. Adapun jawapan yang diberikan oleh Syeikh Tua itu
juga betul jika dinilai dari sudut pengamalan musyahadah terhadap ilmu
Hakikat. Begitu jugalah dengan jawapan yang saya berikan juga betul jika
dinilai dari sudut ilmu Ma’rifat. Tiada yang salah cuma ilmu itu
bertahap-tahap dan tuanku telah pun melalui tahapan-tahapan itu. Dari
tahapan jahil (ilmu bonda) ke tahapan awam (ilmu Kalam) kemudian ke tahapan
khusus (ilmu Hakikat) dan akhir sekali ke tahap khawasul khawas (ilmu
Ma’rifat).”

Kemudian pemuda gembala itu terus menyambung kata-katanya..

“Jika ilmu Hakikat itu jalan fana kerana menilik kepada zat ALLAH maka ilmu
Ma’rifat pula jalan baqo’ kerana menilik terus kepada Kunhi zat ALLAH. Maka
jawapan bagi persoalan tuanku itu secara yang dapat saya simpulkan ialah
Tiada yang tahu dimana ALLAH melainkan ALLAH dan tiada sesiapa yang dapat
melihat ALLAH melainkan diriNya sendiri.”

Sultan Muzaffar Syah mengangguk-anggukkan kepalanya tanda faham.

“Jadi bagaimana hendak sampai ke tahap mengenal ALLAH dengan sempurna
sehingga terbit rasa ingin untuk menemuiNya?”

“Jangan mengenal ALLAH dengan akal sebaliknya mengenal ALLAH dengan ALLAH.”


“Kemudian, apakah cara-caranya untuk dapat bertemu dengan ALLAH?”

“Sebagaimana firman ALLAH yang bermaksud “.. Barangsiapa mengharap
pertemuan dengan Tuhannya maka hendaklah dia mengerjakan amalan soleh dan
janganlah dia mempersekutukan Tuhannya dalam beribadat kepadanya”.. dari
surah al Kahfi ayat 110.”

Mendengar penjelasan daripada pemuda gembala itu hati Sultan Muzaffar Syah
menjadi tenang dan akhirnya baginda diterima menjadi murid si pemuda
gembala itu. Kerana kesungguhan yang luarbiasa dalam menuntut ilmu Ma’rifat
maka baginda mahsyur terkenal sebagai seorang sultan yang arifbillah lagi
zuhud dan warak. Kemudian rakyatnya dibiarkan bebas untuk berpegang pada
mana-mana fahaman pun asalkan ajarannya masih didalam ruang lingkup yang
mengikuti pegangan Ahlussunnah wal Jamaah. Dan sekarang pada usia 70 tahun
barulah Sultan Muzaffar Syah sedar dan faham bahawa untuk memahami tentang
ALLAH maka seseorang itu harus melalui tahapan-tahapan yang tertentu
sebelum seseorang itu layak dinobatkan sebagai arifbillah. Baginya samada
ilmu Kalam, ilmu Hakikat atau ilmu Ma’rifat maka kesemuanya adalah sama
penting untuk dipelajari bagi mewujudkan kesempurnaan untuk mencapai
kedudukan Insan Kamil yang Ma’rifatullah.

Kini Sultan Muzaffar Syah sudah memahami bagaimana rasanya rindu kepada
ALLAH dan bagaimana rasanya benar-benar tidak sabar untuk bertemu ALLAH.
Sejak semalam mulutnya tidak henti-henti asyik mengucapkan kalimah
ALLAH..ALLAH..ALLAH dan kadang-kadang terlihat deruan air mata jernih
mengalir perlahan dipipinya sewaktu dipembaringan. Perlahan-lahan pemuda
gembala menghampiri Sultan Muzaffar Syah yang sejak 20 tahun lalu tinggal
bersama dengannya dirumah usangnya lantas meletakkan kepala muridnya itu
diribaan silanya dengan linangan air mata. Kini nafasnya mulai
tersekat-sekat dan melihat itu, pemuda gembala merapatkan bibirnya ke
telinga Sultan Muzaffar Syah lantas mentalqinkan baginda dengan dua kalimah
syahadah seraya diikuti baginda dengan senyuman. Sejurus kemudian Sultan
muzaffar Syah menghembuskan nafasnya yang terakhir. Suasana hening… pemuda
gembala menunduk sahaja dan sebentar kemudian dia berkata..

“Wahai alangkah beruntungnya.. sekarang tuanku benar-benar telah menemui
ALLAH dan dapat mengenalNya dengan sebenar-benar kenal. Wahai ALLAH, masih
belum layakkah untuk aku bertemu denganMu.. aku mencemburui Sultan Muzaffar
Syah ini maka jemputlah aku menghadapMu Ya ALLAH…”. Sebentar kemudian
pemuda gembala itu pun turut rebah dan menghembuskan nafasnya yang
terakhir. Suasana kembali hening………



TAMAT

KatA-KatA HikmaH


Bismillahirrahmanirrahim

Dengan nama ALLAH TT mulakan post. Hari ini kita berkongsi lagi dengan perkara kata2 hikmah untuk dijadikan motivasi dlm kehidupan seharian.Seperti biasa, TT menggunakan skill terhebat iaitu Copy&Paste...ekekeke... :P Layannn...

1) Jangan sekali-kali kita meremehkan sesuatu perbuatan baik walaupun
hanya sekadar senyuman.

2) Dunia ini umpama lautan yg luas. Kita adalah kapal yg belayar di lautan telah ramai kapal karam didalamnya.. andai muatan kita adalah iman, dan layarnya takwa, nescaya kita akan selamat dari tersesat di lautan hidup ini.
3) Hidup tak selalunya indah tapi yang indah itu tetap hidup dalam
kenangan.

4) Setiap yang kita lakukan biarlah jujur kerana kejujuran itu telalu penting dalam sebuah kehidupan. Tanpa kejujuran hidup sentiasa menjadi mainan orang.
5) Hati yg terluka umpama besi bengkok walau diketuk sukar kembali
kepada bentuk asalnya.
6) Dalam kerendahan hati ada ketinggian budi. Dalam kemiskinan harta ada
kekayaan jiwa. Dalam kesempitan hidup ada kekuasaan ilmu.

7) Ikhlaslah menjadi diri sendiri agar hidup penuh dengan ketenangan dan keamanan. Hidup tanpa pegangan ibarat buih-buih sabun. Bila-bila masa ia akan pecah.

8) Kegagalan dalam kemuliaan lebih baik daripada kejayaan dalam
kehinaan. Memberi sedikit dengan ikhlas pula lebih mulia dari memberi
dengan
banyak tapi diiringi dengan riak.

9) Tidak ada insan suci yang tidak mempunyai masa lampau dan tidak ada
insan yang berdosa yang tidak mempunyai masa depan.

10) Kata-kata yang lembut dapat melembutkan hati yang lebih keras dari
batu.Tetapi kata-kata yang kasar dapat mengasarkan hati yang lunak seperti
sutera.

11) Lidah yang panjangnya tiga inci boleh membunuh manusia yang
tingginya enam kaki.

12) Agama tidak pernah mengecewakan manusia. Tetapi manusia yang selalu
mengecewakan agama.

13) Nafsu mengatakan perempuan itu cantik atas dasar rupanya. Akal
mengatakan perempuan itu cantik atas dasar ilmu dan kepintarannya. Dan
hati mengatakan perempuan itu cantik atas dasar akhlaknya.

14) Keikhlasan itu umpama seekor semut hitam di atas batu yang hitam di
malam yang amat kelam. Ianya wujud tapi amat sukar dilihat.

15) Hidup memerlukan pengorbananan. Pengorbanan memerlukan perjuangan.
Perjuangan memerlukan ketabahan. Ketabahan memerlukan keyakinan.
Keyakinan pula menentukan kejayaan. Kejayaan pula akan menentukan
kebahagiaan.

16) Seseorang yang bijak melahirkan kata-kata selalunya disanjung
sehingga ia mula bercakap kosong

17) Harta akan habis digunakan tanpa ilmu tetapi sebaliknya ilmu akan
berkembang jika ianya digunakan.

18) Kekayaan bukanlah satu dosa dan kecantikan bukanlah satu kesalahan.
Oleh itu jika anda memiliki kedua-duanya janganlah anda lupa pada Yang
Maha Berkuasa.

19) Sahabat yang tidak jujur ibarat dapur yang berhampiran. Jikalau pun
kamu tidak terkena jelaganya sudah pasti akan terkena asapnya.

20) Mengapa manusia gemar mencetuskan pertelingkahan sedangkan manusia
itu sendiri dilahirkan dari sebuah kemesraan.

21) Kita sentiasa muda untuk melakukan dosa tetapi tidak pernah tua
untuk bertaubat.

22) Gantungkan azam dan semangatmu setinggi bintang di langit dan
rendahkan hatimu serendah mutiara di lautan.

23) Setiap mata yang tertutup belum bererti ia tidur. Setiap mata
terbuka belum bererti ia melihat.

24) Jadikan dirimu bagai pohon yang rendang di mana insan dapat
berteduh.
Jangan seperti pohon kering tempat sang pungguk melepas rindu dan hanya
layak dibuat kayu api.

25) Menulis sepuluh jilid buku mengenai falsafah lebih mudah daripada
melaksanakan sepotong pesanan.

26) Jangan menghina barang yang kecil kerana jarum yang kecil itu
kadang-kadang menumpahkan darah.

27) Kegembiraan ibarat semburan pewangi, pabila kita memakainya semua
akan dapat merasa keharumannya. Oleh itu berikanlah walau secebis
kegembiraan yang anda miliki itu kepada teman anda.

28) Esok pasti ada tetapi esok belum pasti untuk kita. Beringat-ingatlah
untuk menghadapi esok yang pastikan mendatang.

29) Reaksi emosi jangan dituruti kerana implikasinya tidak seperti yang
diimaginasi .

30) Sahabat yang beriman ibarat mentari yang menyinar. Sahabat yang
setia bagai pewangi yang mengharumkan. Sahabat sejati menjadi pendorong
impian. Sahabat berhati mulia membawa kita ke jalan Allah.

31) Orang yang bahagia itu akan selalu menyediakan waktu untuk membaca
kerana membaca itu sumber hikmah menyediakan waktu tertawa kerana
tertawa itu muziknya jiwa, menyediakan waktu untuk berfikir kerana
berfikir itu pokok kemajuan, menyediakan waktu untuk beramal kerana
beramal itu pangkal kejayaan, menyediakan waktu untuk bersenda kerana
bersenda itu akan membuat muda selalu dan menyediakan waktu beribadat
kerana
beribadat itu adalah
ibu dari segala ketenangan jiwa.

32) Penglihatan itu sebagai panah iblis yang berbisa, maka siapa yang
mengelakkannya kerana takut padaKu, maka Aku akan menggantikannya dengan
iman yang dirasakan manisnya dalam hati...

33) "Wanita yang cantik tanpa peribadi yang mulia, umpama kaca mata yang
bersinar-bersinar, tetapi tidak melihat apa-apa"

34) "Kekecewaan mengajar kita erti kehidupan. Teruskan perjuangan kita
walaupun terpaksa menghadapi rintangan demi rintangan dalam hidup"

35) Tanda Orang Bijaksana Ialah Hatinya Selalu Berniat Suci; Lidahnya
Selalu Basah Dengan Zikrullah; Matanya Menangis Kerana Penyesalan
(Terhadap Dosa);
Sabar Terhadap Perkara Yang Dihadapi Dan Mengutamakan Akhirat Berbanding
Dunia.

36) Jika kejahatan di balas kejahatan, maka itu adalah dendam. Jika
kebaikan dibalas kebaikan itu adalah perkara biasa. Jika kebaikan
dibalas kejahatan,
itu adalah zalim. Tapi jika kejahatan dibalas kebaikan, itu adalah mulia
dan terpuji."

37) "Hidup umpama aiskrim. Nikmatilah ia sebelum cair"

38) "Kata-kata itu sebenarnya tidak mempunyai makna utk menjelaskan
perasaan. Manusia boleh membentuk seribu kata-kata, seribu bahasa. Tapi
kata-kata bukan bukti unggulnya perasaan"

39) "Hidup tidak boleh berpandukan perasaan hati yg kadangkala boleh
menjahanamkan diri sendiri. Perkara utama harus kita fikirkan ialah
menerima sesuatu atau membuat sesuatu dgn baik berlandaskan kenyataan"

40) "Hidup adalah gabungan antara bahagia dan derita. Ia adalah menguji
keteguhan iman seseorang. Malangnya bagi mereka yg hanya mengikut
kehendak hati tidak sanggup menerima penderitaan.

41) Hadiah Terbaik :
Kepada kawan - Kesetiaan
Kepada musuh - Kemaafan
Kepada ketua - Khidmat
Kepada yang muda - Contoh terbaik
Kepada yang tua - Hargai budi mereka dan kesetiaan.
Kepada pasangan - Cinta dan ketaatan
Kepada manusia - Kebebasan

42) "Berfikir secara rasional tanpa dipengaruhi oleh naluri atau emosi
merupakan satu cara menyelesaikan masalah yg paling berkesan"

43) "Hiduplah seperti lilin menerangi orang lain, janganlah hidup
seperti duri mencucuk diri dan menyakiti orang lain."

44) "Dunia ini ibarat pentas. Kita adalah pelakonnya. Maka
berlumba-lumbalah beramal supaya hidup bahagia di dunia dan akhirat"

45) "Akal itu menteri yang menasihati, Hati itu ialah raja yang
menentukan,
Harta itu satu tamu yang akan berangkat, kesenangan itu satu masa yang
ditinggalkan".

46) "Selemah-lemah manusia ialah orang yg tak boleh mencari sahabat dan
orang yang lebih lemah dari itu ialah orang yg mensia-siakan sahabat yg
telah dicari"

47) "Cakap sahabat yg jujur lebih besar harganya daripada harta benda yg
diwarisi dari nenek moyang"

48) "Ingatlah, sabar itu iman, duit bukan kawan, dunia hanya pinjaman
dan mati tak ber teman.."

49) "Lidahmu adalah bentengmu, jika engkau menjaganya maka ia akan
menjagamu, dan jika engkau membiarkannya maka ia tidak akan
mempedulikanmu"

50) "Orang yg paling berkuasa adalah orang yg dapat menguasai dirinya
sendiri"

51) "Seseorang menganggap sekatan sebagai batu penghalang, Sedangkan
orang lain menganggapnya sebagai batu lonjatan."

52) "Kalau kita melakukan semua yang kita upaya lakukan, sesungguhnya
kita akan terkejut dengan hasilnya."

53) "Kita selalu lupa atau jarang ingat apa yang kita miliki, tetapi
kita sering kali ingat apa yang ora ng lain ada."

54) "Apa yang diperolehi dalam hidup ini, adalah sepenuhnya daripada apa
yang kita berikan padanya."

55) "Fikirkan hal-hal yang paling hebat, Dan e***** akan menjadi
terhebat. Tetapkan akal pada hal tertinggi, Dan e***** akan mencapai yang
tertinggi."

56) "Dunia ini tiada jaminan melainkan satu peluang."

57) "Kehidupan kita di dunia ini tidak menjanjikan satu jaminan yang
berkekalan. Apa yang ada hanyalah percubaan, cabaran dan pelbagai
peluang.
Jaminan yang kekal abadi hanya dapat ditemui apabila kita kembali semula
ke pada Ilahi."

58) "Rahsia kejayaan hidup adalah persediaan manusia untuk menyambut
kesempatan yang menjelma."

59) "Kekuatan tidak datang dari kemampuan fizikal,tetapi ianya datang
dari semangat yang tidak pernah mengalah."

60) "Mengetahui perkara yang betul tidak memadai dan bermakna jika tidak
melakukan perkara yang betul."

61) "Kecemerlangan adalah hasil daripada sikap yang ingin sentiasa
melakukan yang terbaik."

62) "Jadikan sebagai aturan hidup untuk melakukan yang terbaik dalam apa
jua yang dilakukan, pasti akan menghasil kecemerlangan

63)cantik wanita kerana kejernihan wajah,
manis wnita kerana senyum,
ayu wanita kerana kesederhanaan lahiriah,
hebat wanita kerana kesabaran,
mulia wanita kerana keimanan dan kecintaan illahi